"Take nothing but memories. Leave nothing but footprints. Kill nothing but time."





09 June, 2010

UIAM bukti kejayaan ahli akademik Islam

~i'm proud to be IIUM student (convo 2005)



Credit to Abdul Halim Taib (Berita Harian)
2010/06/09



Universiti ditubuh hasil usaha OIC kini pada ranking ke-159 di Asia, tumpu bidang penyelidikan UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini bukan saja dikenali di rantau ini malah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia khususnya di kalangan negara Islam dan secara umumnya kepada masyarakat antarabangsa. Ia menjadi sebutan masyarakat dunia di mana-mana saja, termasuk di kota besar yang kita kunjungi terutama di kalangan 57 negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).




Sesuatu yang lumrah apabila menemui bekas pelajar atau alumni UIAM menjadi orang penting di bidang awam atau swasta di negara berkenaan. Ini berlaku kerana sejarah penubuhan UIAM berkait rapa dengan OIC. Idea menubuhkan UIAM pada mulanya dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerjasama dan sokongan kuat OIC dan beberapa negara Islam seperti Turki, Arab Saudi, Mesir, Pakistan, Libya, Bangladesh dan Maldives.





Ini berdasarkan falsafah penubuhan UIAM yang disokong oleh Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Islam yang diadakan di Makkah pada 1977. Dr Mahathir mencadangkan penubuhan itu pada 12 Januari 1982.



Menariknya, peranan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak sebagai Presiden UIAM ketiga juga turut memberi impak luas terhadap perjalanan perkembangan universiti itu dari peringkat awal hingga sekarang. Perdana Menteri sentiasa memberi perhatian terhadap perkembangan di UIAM.





UIAM ditubuhkan dengan rasminya pada 20 Mei 1983 di kampus awalnya di Petaling Jaya. UIAM kini menjadi pilihan ribuan pelajar dalam dan luar negara kerana keunikannya. Kini sudah 27 tahun universiti ini wujud dan sudah menabur bakti ke seluruh pelusuk alam dari dunia Islam menjangkau ke dunia barat. Secebis contoh kejayaan tenaga pengajar atau pelajar UIAM di persada antarabangsa, antaranya ialah pelantikan pensyarah Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, UIAM Prof Dr Ismawi Zen sebagai Panel Antarabangsa Pembesaran Masjidilharam yang bertanggungjawab menasihati Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz dalam projek pembangunan semula Masjidilharam, di Makkah selain pelantikan Prof Datuk Wan Mohamad Rafaie Wan Abdul Rahman sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Victoria University, Wellington, New Zealand.





Warga dan alumni UIAM lain mencipta nama dan memegang jawatan penting di beberapa negara termasuk Menteri Hal Ehwal Agama Guinea, Prof Datuk Sano Koutoub Moustapha; Menteri Kehakiman Gambia, Marie Saine Firdaus; Menteri Luar Turki, Prof Dr Ahmet Davutoglu (bekas pensyarah), Peguam Negara Maldives, Ahmad Muizzu; Gabenor Bank Pusat Gambia, Momodou Bamba Soho dan Penasihat Syariah Bank Pusat Indonesia, Dr Muhammad Syafii Antonio.




Di dalam negeri pula UIAM melahirkan tokoh seperti Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; pakar undang-undang, Prof Dr Aziz Bari dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Menurut Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, untuk menghubungkan semula ribuan bekas siswazahnya, UIAM kini sudah menubuhkan rangkaian alumninya di seluruh dunia dan yang terbaru di Gambia dan Guinea.Yang lain ialah Thailand, Indonesia, Maldives, Australia, Arab Saudi dan Oman. Yang lain ialah Thailand, Indonesia, Maldives, Australia, Arab Saudi, Oman, Singapura, Brunei, Turki, China, Bosnia-Herzegovina, Afrika Selatan, Yaman, Nigeria, Filipina, Senegal, Sri Lanka, Bangladesh dan Emiriah Arab Bersatu.




Sehingga kini UIAM sudah mengeluarkan seramai 38,832 siswazah dari 100 negara dunia dan daripada jumlah itu, 4,270 pelajar antarabangsa. Daripada keseluruhan jumlah di atas 10,767 pelajar lepasan ijazah. Dr Syed Arabi berkata, walaupun universiti itu mencapai tahap yang boleh dibanggakan, usaha gigih diteruskan di samping meneroka bidang baru, terutama dalam penyelidikan bagi membolehkan ia dikategorikan sebagai universiti berteraskan penyelidikan dalam masa terdekat berbanding statusnya sebagai universiti pembelajaran sekarang. Mengenai kedudukan UIAM dalam senarai universiti terbaik dunia, beliau berkata ini berikutan keputusan pihaknya tidak mendaftar UIAM bagi dinilai oleh pihak yang menyediakan ranking berkenaan.




Tumpuan UIAM yang ditubuhkan pada 1983 ialah menjadi universiti terbaik di kalangan negara OIC, bukan menyenaraikannya dalam ranking universiti terbaik Asia, Eropah atau dunia. Kini sebahagian daripada tugas itu sudah dilaksana dan dibuktikan. Bagaimanapun, kata beliau, pada tahun ini pihaknya membuat keputusan untuk memasukkan UIAM di dalam ranking Universiti Asia QS 2010 dan universiti itu ditempatkan pada kedudukan ke-159. Penulis ialah Penolong Pengarah (Media dan Penerbitan) di Pejabat Perhubungan Awam, UIAM. Dr Syed Arabi berkata dua bidang baru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi ialah Institut Kajian Marin, Oceonografi (INOCEM) di Cherok Paloh, Penor, Pahang dijangka siap hujung tahun ini dan Kulliyyah Pertanian juga di Pahang dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini.



Sebagai kesimpulan, UIAM yang merangkumi semua kampusnya, wujud sebagai sebuah universiti Islam yang unggul di dunia kini, adalah hasil sokongan padu OIC dan negara Islam lain sejak dulu hingga sekarang. Oleh itu sebagai mengenang jasa tidak ternilai pemimpin yang terbabit, UIAM pada pertengahan Jun ini, menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat dalam bidang Sains Politik kepada Setiausaha Agung OIC, Tan Sri Prof Dr Ekmeleddin Ihsanoglu. Penulis ialah Penolong Pengarah (Media dan Penerbitan) di Pejabat Perhubungan Awam, UIAM

No comments:

Post a Comment